KEUNIKAN ALAM
Pembentukan alam semesta
Proses kejadian alam dari pandangan
al Quran
Proses kejadian alam ini satu
persoalan yang menarik sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Manusia
masih ingin mencari kepastian asal usul kejadian alam ini. Bagaimana proses
kejadiannya. Bagaimana alam ini terjadi dan diciptakan. Manusia masih
tercari-cari jawapannya. Manusia tidak jemu-jemu dengan segala usaha dan kemahiran
yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli sains hari ini dengan
teknologi tinggi dan canggih masih terus berusaha untuk mencari rahsia
kejadian alam ini.
Allah yang menciptakan alam ini
tidak membiarkan manusia untuk mencari jawapannya kerana Dia Maha
Mengetahui akan kelemahan hambaNya. Kelemahan manusia sungguh banyak contohnya
kita tidak boleh menjelajah jauh ke seluruh pelusuk alam untuk mengetahui
keadaan sebenar seluruh alam. Apa yang manusia boleh lakukan hanya meramalkan
berdasarkan dengan sedikit ilmu yang ada pada ketika itu. Mungkin betul dan
mungkin juga salah. Oleh kerana itulah Allah telah memberitahu manusia jawapan
bagaimana dan siapa yang menciptakan alam ini. JawapanNya diterangkan di dalam
al Quraan melalui RasulNya. Di dalam al Quraan yang suci Allah menyebutkan
Dialah yang menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaan dan kehendakNya.
FirmanNya yang bermaksud:
"Dan Dialah menciptakan langit
dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataanNya
diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu terjadilah', dan di tanganNyalah
segala kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib
dan yang nampak. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha
Mengetahui"
al Anaam: 73
Allah telah menciptakan langit
dan bumi ini melalui proses-proses yang dikehendakiNya. Sebahagian daripada
proses-proses kejadian alam ini telah diterangkan oleh Allah dengan jelas di
dalam al Quran. Allah telah menerangkan bahawa kejadian langit dan bumi ini
asalnya daripada satu yang padu, kemudian dipisahkan menjadi langit dan bumi.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan apakah orang-orang kafir, tidak mengetahui bahawasanya
langit dan bumi itu kedua-duanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami
pisahkan kedua-duanya. Dan daripada air Kami jadikan segala suatu yang hidup.
Maka mengapakah mereka tidak juga beriman?
Ayat ini menerangkan asal kejadian alam semesta,
terdapat tiga maklumat penting yang terkandung di dalam ayat ini berkaitan
dengan kejadian alam semesta(Dr.Zakaria Awang Soh,1990)
~ Bahan yang membentuk
alam semesta ini merupakan satu entiti (suatu yang
wujud)
tunggal.
~ Keseluruhan alam
semesta, langit dan bumi adalah tercantum dalam satu unit.
~ pemisahan berlaku secara
sistematik untuk menghasilkan hukum-hukum fizikal
dan
peningkatan jirim (ordering matter)
Perkataan "ratq"
membawa maksud memadukan unsur-unsur menjadi satu jasad yang padu. Jasad yang
padu inilah yang menjadi asal mula alam. Perkataan "fatq" membawa
maksud dipisahkan atau dipecahkan. Jasad yang padu tadi kemudiannya melalui
proses pemisahan. Bagaimana proses pemisahan itu tidak dapat dijelaskan. Jika
dilihat kepada alam semesta yang wujud hari ini menggambarkan proses pemisahan
ini berlaku dalam satu kuasa pemisahan yang sungguh hebat dan amat kuat.
Proses pembentukan alam ini berlaku secara
bertahap-tahap selepas dari pemishan itu. Hal ini seperti yang disebut di dalam
alQuraan yang bermaksud;
"Kemudian Dia menuju kepada
penciptaan langit dan langit itu masih merupakan asap lalu Dia berkata
kepadaNya dan bumi, Datanglah kamu keduanya menurut
perintahKu dengan suka hati atau terpaksa keduanya
menjawab 'kami datang dengan suka hati' Maka Dia
menjadikan tujuh langit dalam masa dua masa dan Dia mewahyukan pada
tiap-tiap langit urusannya. Dan kami hiasi langit yang dekat
dengan bintang yang cemerlang dan Kami perliharanya
dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha
Mengetahui."
Fushilat
: 11-12
Seluruh proses kejadian alam ini berlaku secara
sistematik dengan ukuran yang rapi dan tepat seperti yang disebut di dalam
alQuraan
"Sesungguhnya
Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah
ditentukan)."
AlQamar :49
Manakala alam semesta yang
diciptakan oleh Allah ini sentiasa mengembang atau keluasan alam ini sentiasa
bertambah dari masa kesemasa. Ini bermaksud segala apa yang ada di alam ini
sentisa bertambah terhadap masa. FirmanNya bermaksud:
"Dengan kemahiran
dan kekuasaan Kami, Kami bangunkan langit dan Kami
kembangkannya"
Azariat : 4
Putaran bumi
Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas
paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak
berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.
Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap
matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari
akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian
yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat
dan begitulah sebaliknya.
Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti
keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari
jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan
mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya
akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi
sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah
yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan
sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan
musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.
Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan
sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada
benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat
panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi
ini sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.
Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus
sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya dari jam
ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja akan
mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku
menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan
binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan.
Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam
berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah
pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.
Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa
hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk
kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal
fikiran yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu
sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah
selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat
padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya,
Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu
dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar
kamu bersyukur kepada-Nya.”
(Al-Qasas: 72-73)
Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi
ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu
dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan
selesa di permukaan bumi ini.
Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat
memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan
beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan
sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima
kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang
seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga,
mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.
Peredaran Bumi
Mengelilingi Matahari
Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi
matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara
bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama
365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.
Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam
berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan
khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim
panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai
akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan
buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat
besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.
Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti
sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud:
“... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi
setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan
menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat.”
(Al-Hajj: 5)
Firmannya lagi yang bermaksud:
“Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan
padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam
tanaman yang indah dipandang mata.”
(Qaaf: 7)
Jarak Di Antara
Bumi Dengan Planet-Planet Lain
Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya
telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa jika jarak
itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di bumi.
Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari jarak
yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan
bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan
planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih
atau terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.
Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-tengah
angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang
sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi.
Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini
harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran
semata-mata untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal
makan, pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan
sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya
seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran
Allah s.w.t. Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa
bertunjangkan ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah
memberi faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada
kebahagiaan hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu
hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah
antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan
kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.”
(Al-Hadid : 20)
Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan planet itu bebas
bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad,
masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya
kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak
berlanggaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan
baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan
bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk
seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati
bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis
edarannya (orbit).”
(Yassin : 38-40)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar